KUALA LUMPUR | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghargai komitmen dan sumbangan pelbagai pihak dalam usaha menangani pandemik COVID-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengamal perubatan swasta juga turut menyumbang perkhidmatan mereka dengan berkhidmat sebagai sukarelawan.
Katanya, kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada Mac tahun lalu bersetuju menawarkan bayaran perkhidmatan kepada pengamal perubatan swasta bagi menghargai sumbangan itu.
“Kerajaan masih membuka penyertaan pengamal perubatan swasta untuk berkhidmat di Pusat Saringan COVID-19 dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut lokaliti di seluruh negara.
“Pendaftaran masih lagi dibuka dan boleh layari portal KKM: http://www.moh.gov.my.
“Penyertaan ini selaras dengan pendekatan whole of government, whole of society dan diharap dapat mempercepatkan lagi usaha kerajaan untuk memastikan pencapaian status komuniti kelompok seterusnya melandaikan keluk penularan pandemik COVID-19 di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.