KOTA BHARU | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1,203 kilogram (kg) minyak masak dan tepung gandum ke negara jiran Thailand.
Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, cubaan itu berjaya dihalang dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan bersama Agensi Penguat Kuasaan Sempadan Negara Malaysia, Kelantan (AKSEM) di Kampung Bunohan, Tumpat, 6.00 petang semalam.
Katanya, dalam operasi yang dijalankan sekitar sempadan negara, pasukan berjaya menahan dua buah kenderaan berpendaftaran Malaysia jenis Perodua Viva dan Proton Saga yang mencurigakan ketika melakukan rondaan.
Katanya, menyedari kenderaan mereka diekori, suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan kenderaan di bahu jalan Kampung Bunohan
“Siasatan awal mengesyaki dan percaya lelaki berkenaan membuat belian secara persendirian dengan mendapatkan bekalan dari pemborong – pemborong sekitar disyaki dalam cubaan untuk membawa bekalan barang kawalan berkenaan ke sempadan negara bagi tujuan penyeludupan ke negara jiran dan kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Modus operandi bagi penyeludupan kali ini dengan saspek membuat belian dari pemborong – pemborong sekitar Tumpat, seterusnya menjadikan stor di sempadan negara di lokasi strategik laluan sungai sebagai tempat simpanan sementara dan seterusnya dibawa seludup ke negara jiran,” katanya.
Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan dalam operasi yang dijalankan ini berjumlah anggaran Rm 2777.50, manakala bagi minyak masak bersubsidi paket 1kg dengan kuantiti 1003 kilogram nilai RM 2507.50 dan tepung gandum 200 kilogram dengan nilai RM 270.00 seterusnya dua buah kenderaan tersebut dianggarkan RM 12,000.00
Katanya, KPDNHEP memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas tanpa konpromi terhadap sesiapa sahaja yang melakukan penyelewengan terutamanya berhubung barang kawalan.
“Kerjasama bersama agensi-agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa dijalankan dari masa ke semasa bagi memastikan barang kawalan yang diseludup ke negara jiran dapat dibanteras serta memastikan pengguna dapat menikmati subsidi yang dibekalkan Kerajaan,” katanya.