BERLIN | Peraturan pemakaian pelitup muka dijangka akan dilonggarkan di Jerman tidak lama lagi selepas kes Covid-19 di negara itu mencatatkan penurunan ketara.
Lapor AFP, Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn, berkata negara itu akan melonggarkan peraturan berkenaan secara berperingkat, dengan fasa pertama membabitkan pelonggaran pemakaian pelitup muka di kawasan luar.
“Di wilayah yang merekodkan jumlah kes amat rendah dan kadar vaksinasi tinggi, kelonggaran boleh dilaksanakan di kawasan dalam premis secara beransur-ansur,” katanya dalam temu bual bersama kumpulan media Funke hari ini.
Jerman mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam premis, pengangkutan awam, kedai, sekolah dan beberapa jalan yang sibuk.
Namun, seperti kebanyakan negara Eropah lain, jangkitan Covid-19 di Jerman mencatat penurunan ketara sejak beberapa minggu lalu, membolehkan beberapa sekatan dilonggarkan.
Kempen imunisasi Covid-19 negara itu juga semakin pantas, walaupun bermula perlahan.
Hampir separuh individu dewasa di Jerman sudah diberikan satu dos (48.1 peratus), dengan 25.7 peratus sudah menerima suntikan lengkap vaksin berkenaan.
Jerman mula melonggarkan sekatan bulan lalu dengan membenarkan pembukaan restoran, bar dan kedai dalam sektor perkhidmatan tidak penting lain selepas ia ditutup selama beberapa bulan.
Menteri Perundangan Jerman, Christine Lambrecht, turut menggesa setiap wilayah di negara itu meneliti setiap minggu sama ada pemakaian pelitup muka masih perlu, berdasarkan keadaan di lokaliti masing-masing.
Jiran negara itu, Denmark, Isnin lalu menamatkan peraturan pemakaian pelitup muka, kecuali ketika dalam pengangkutan awam.