KOTA BHARU | Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan Mahkamah Syariah seluruh neghara dan firma peguam syarie beroperasi di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
Presidennya, Musa Awang, berkata gesaan itu dibuat memandangkan banyak permasalahan yang memberi kesan kepada kepada masyarakat Islam jika idustri guaman ini tidak dapat beroperasi.
Katanya, kes yang didengar bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan penikahan, penceraian dan rujuk, malah membabitkan keganasan rumah tanggan, permohonan perintah injuksi tegahan gangguan terhadap fizikal (tubuh badan), injunksi tegahan terhadap harta, perebutan jagaan dan lawatan anak-anak, serta Perintah Interim jagaan anak.
“Media melaporkan dan statistik merekodkan bahawa kes-kes perceraian berlaku peningkatan luar biasa semasa PKP. Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar pernah melaporkan bahawa sebanyak 6,569 kes penceraian didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama PKP dari 18 Mac hingga 18 Jun tahun lalu (2020).
“Hilang punca pendapatan, menganggur dan stres semasa PKP telah mencetuskan ‘kebiasaan baharu’ dalam kehidupan masyarakat dengan meningkatnya kes-kes perceraian.
“Apabila berlaku perceraian dalam tempoh PKP, sepatutnya mereka dapat merujuk permasalahan mereka kepada Mahkamah Syariah atau Peguam Syarie, jika sekiranya kedua-dua institusi ini dibenarkan beroperasi supaya dapat diselesaikan dalam tempoh sepatutnya serta tidak timbul rentetan masalah lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan laporan, sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dala mtempoh Januari hingga April tahun ini dengan pelbagai faktor termasuk desakan ekonomi dan tekanan hidup.
Katanya, bagi statistik polis pula, sepanjang Januari hingga Disember 2020, sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga telah dibuka kertas siasatan, manakala statistik Talian Kasih KPWKM, dalam tempoh sama, sebanyak 2,540 kes keganasan rumah tangga telah diterima.
“Statistik ini menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk membenarkan Mahkamah Syariah dan firma Peguam Syarie seluruh negara beroperasi sepanjang PKP 3.0.
“Membenarkan Mahkamah Syariah dan firma peguam Syarie beroperasi juga dapat mengelakkan tanggapan negatif masyarakat awam khususnya orang Islam terhadap institusi agama di negara ini, terutama golongan wanita yang kebanyakannya menjadi mangsa sepanjang tempoh PKP.
“Operasi Mahkamah Syariah tidak semestinya dijalankan secara fizikal sepenuhnya, ia juga boleh dibuat secara atas talian (online) tanpa melibatkan perjumpaan fizikal. Peguam Syarie juga boleh berurusan dengan Mahkamah Syariah secara atas talian untuk prosiding sebutan atau pendengaran kes-kes tertentu,” katanya.