PASIR MAS | Polis akan mengambil tindakan terhadap seorang penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pasir Mas, susulan gambar individu itu yang tidak memakai pelitup muka ketika mengenakan kompaun kepada peniaga di Rantau Panjang, tular sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, lelaki iti akan dikenakan tindakan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Katanya, hasil siasatan pihaknya mendapati lelaki berusia 39 tahun itu bekerja sebagai Penguatkuasa PBT di Pasir Mas.
“Satu laporan polis sudah dibuat dan polis sedang mengesan kakitangan PBT itu untuk dikenakan tindakan dengan kadar segera.
“Kejadian penguatkuasa yang tular adalah ketika mengenakan kompaun kepada peniaga jalanan yang menjalankan perniagaan di lokasi tidak dibenarkan iaitu berdekatan Masjid Beijing, Rantau Panjang, Kelantan.
“Gambar yang tular menimbulkan tidak puas hati di kalangan masyarakat kerana penguatkuasa berkenaan tidak memakai pelitup muka ketika menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata, satu laporan polis dibuat bertujuan untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan gambar yang tular.
Terdahulu, gambar penguatkuasa PBT itu tular sejak semalam ketika mengambil tindakan kompaun terhadap peniaga jalanan dan pada masa sama, lelaki itu tidak memakai pelitup muka.
Tindakan itu menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan masyarakat.