PUTRAJAYA | Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Syarifuddin Azman kerana muncul juara, CEV Moto3 Remaja Dunia di Barcelona, Sepanyol, semalam.
Dalam perkongsian facebook miliknya, Muhyiddjn berkata, beliau berbangga dan gembira dengan pencapaian anak muda tersebut.
“Sudah pasti hanya keazaman, ketekunan, kesungguhan dan keberanian sahaja yang mampu meletakkan seorang pelumba untuk bergelar juara.
“Tahniah Syarifuddin dan seluruh ahli pasukan atas aksi dan kejayaan yang membanggakan negara ini,” katanya.
Beliau berharap agar Syarifuddin meneruskan usaha untuk kejayaan yang lebih gemilang selepas ini.
Semalam, Syarifuddin berjaya menakluk perlumbaan di pentas CEV dan pencapaian terbaik yang pernah diraih olehnya dalam saingan antarabangsa pada tahun kedua penampilannya dalam saingan CEV itu.
Syarifuddin atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Damok’ mempamerkan tunggangan mengagumkan itu memulakan perlumbaan di petak ke-10 melepasi garisan penamat dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat untuk muncul juara.
Tempat kedua milik pelumba tuan rumah David Munoz Rodriguez dari pasukan Avatel-Cardoso Racing dengan catatan masa 29:32.715 manakala Jose Antonio Rueda Ruiz juga dari Sepanyol di tempat ketiga (29.32.825s).