LIPIS | Seekor ular sawa sepanjang dua meter yang dianggarkan berat 20 kilogram ditemui dalam reban ayam di sebuah rumah di Seberang Bandar Baru, Kuala Lipis, hari ini.
Lapor Utusan, Pemilik haiwan ternakan menemui reptilia itu selepas memeriksa reban ayam sebelum terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lipis.
Pegawai APM Daerah, Mohd Azhar Yusof berkata, ular sawa itu ditemukan dalam reban ayam milik seorang penduduk yang keluar rumah pada waktu pagi sebelum segera menghubungi bilik gerakan untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, lima anggota APM Lipis terpaksa berhempas pulas lebih kurang 15 minit sebelum berjaya menangkap reptilia itu, kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Ketika anggota tiba, ular itu masih berada dalam reban dan dianggarkan baharu sahaja berjaya masuk memandangkann tidak ada seekor pun yang hilang ditelan ular sawa itu.
“Dengan menggunakan pengepit dan alat khas menangkap ular, semua anggota yang terlatih itu dengan mudah berjaya menangkap haiwan tersebut dalam masa yang singkat,” katanya di sini.
Menurut Mohd Azhar, ketika kejadian terdapat tiga penghuni di rumah dan bersyukur kerana tiada mangsa yang cedera dilaporkan.
“Kita bawa balik ular sawa itu namun telah dilepaskan ke habitat asalnya di kawasan hutan simpan berdekatan,” katanya.