GLASGOW | Kelekaan penjaga gol Scotland, David Marshall berada jauh dari gawangnya dimanfaatkan Patrik Schick apabila pemain Republik Czech itu terus melakukan jaringan jarak jauh, membolehkan mereka mendahului 2-0.
Lapor Agensi, Schick mendedahkan dia merancang untuk menjaringkan gol menariknya itu, bukan sekadar nasib.
Selepas tandukannya pada babak pertama membolehkan mereka mendahului 1-0 di Hamden Park, dia melambungkan bola melepasi Marshall dari jarak kira-kira 45 meter dan menyebabkan penjaga gol itu kelam kabut kembali ke gawangnya, namun tetap tertewas.
Jaringan itu terus diangkat sebagai jaringan terbaik Euro 2020, sekali gus menenggelamkan penampilan pertama Scotland di kejohanan utama dalam tempoh 23 tahun.
Schick menegaskan, jaringan itu bukanlah gol ‘nasib’ kerana dia menyedari penjaga gawang Scotland naik ke atas pada babak pertama.
“Ya, saya nampak dia (tidak berada di gol). Saya tahu situasi ini akan berlaku kerana dia berada terlalu jauh daripada garisannya. Apabila bola tiba, saya terus melihat di mana dia berdiri.
“Dia berada di luar kawasannya dan saya melakukan percubaan. Ia adalah jaringan yang menarik.”
Jarak rasmi bagi jaringan berkenaan direkodkan pada 45.4 meter, sekali gus mencipta rekod sebagai jaringan paling jauh yang dilakukan dalam sejarah Kejuaraan Eropah.
Tamat