MUNICH | Didier Deschamps menegaskan hari ini bahawa juara dunia, Perancis tidak boleh memandang mudah Jerman menjelang pertemuan dua gergasi Eropah itu pada Euro 2020.
Perancis dan Jerman akan membuka kempen Kejohanan Eropah mereka dalam Kumpulan F di Allianz Arena dekat Munich awal pagi esok.
Perancis berkedudukan kedua ranking FIFA, 10 tempat di atas Jerman dan memulakan saingan selaku pilihan manakala skuad kendalian Joachim Loew berdepan tekanan menamatkan prestasi kurang memberangsangkan dilalui pasukan itu.
Dibelasah 6-0 oleh Sepanyol November lalu dan kekalahan di laman sendiri kepada Macedonia Utara awal tahun ini merencatkan keyakinan Jerman selepas tersingkir awal daripada Piala Dunia 2018.
Namun Deschamps yang bercakap mengenai peluang Jerman, memberi amaran bahawa skuad Die Mannschaft ada “permainan mengikut posisi yang tidak terikat kepada sebahagian padang sahaja.”
“Mereka boleh mengeksploitasi keseluruhan padang, di depan atau di belakang,” kata Deschamps di Munich.
Bos Perancis itu menegaskan Jerman memiliki bakat seperti penyerang Chelsea, Timo Werner dan pemain sayap Bayern Munich, Serge Gnabry yang boleh mendatangkan masalah buat Les Bleus.
“Kami perlu mengurangkan pengaruh mereka dalam permainan,” kata Deschamps. – AFP