KUALA LUMPUR | Isu terhadap penghinaan agama Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyediakan kertas kerja dalam masa terdekat untuk dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau mengarahkan JAKIM untuk menyediakan kertas kerja.
Katanya, umum mengetahui insiden yang berlaku baru-baru ini yang membabitkan sensitiviti keagamaan.
“Pihak berkuasa telah menjalankan siasatan dan kita sedia menanti keputusannya.
“Malaysia bukanlah baru berumur setahun jagung. Kita sudah hidup lebih 60 tahun bersama. Jika diumpamakan seperti manusia, sudah memutih uban di kepala dan amat luas ilmu dan pengalamannya.
“Semangat muhibbah yang kita telah bina puluhan tahun ini sudah pasti tidak mudah dirobohkan hanya kerana satu dua isu. Namun, isu yang dipandang remeh itulah kadangkala boleh mencetuskan api yang amat marak. Hal inilah yang memerlukan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan isu dan permasalahan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, media melaporkan lima penghantar makanan dan seorang pelanggan ditahan berhubung kes pergaduhan di kawasan Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor.
Beliau berkata, bagai menghela rambut dalam tepung iaitu rambut jangan putus dan tepung jangan berserak.
“Tali jangan putus, kaitan jangan serkah. Bagai menghela tali jala. Rasa tegang dikendurkan, rasa kendur ditegangkan.
“Perbezaan adalah lumrah manusia. Kita ada hati, akal dan pengalaman yang sudah pasti membentuk sudut pandang yang berbeza dalam 1001 perkara. Bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) pada saya adalah selamanya ramuan yang terbaik dalam menguruskan sebarang bentuk perbezaan.
“Sebagaimana bola dan kedai mamak boleh menyatukan semua bangsa tanpa mengira latar belakang politik, pendidikan dan warna kulit. Saya fikir kita juga ada pelbagai bentuk alasan untuk terus hidup dalam semangat muhibbah, dari memilih untuk berseteru dan menimbulkan provokasi pada prinsip utama agama,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatian badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa berusaha memelihara kesucian agama Islam dan dalam masa yang sama mengukuhkan hubungan persefahaman antara kaum serta agama.