PUTRAJAYA | Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan strategi Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa bagi keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.
Muhyiddin berkata, pelan berkenaan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.
Menurutnya, setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
“Indikator Pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian.
“Indikator Kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU.
“Indikator Ketiganya ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya hari ini sempena Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara hari ini.
Pada perutusan hampir 27 minit itu juga, berkata, keputusan melaksanakan PKP ini bukanlah sesuatu yang mudah.
“Dari segi ekonomi, negara kita kehilangan RM1 bilion ringgit sehari sepanjang PKP dilaksanakan pada masa ini.
“Saya telah umumkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan PEMERKASA Plus bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion ringgit.
“Saya berharap bantuan daripada kerajaan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan yang terkesan,” kataya.
Namun beliau berkata, keadaan sebegini tidak boleh berterusan yang mana demi kesihatan dan kelangsungan hidup semua, kita perlu segera keluar daripada krisis ini.
“Pada hari ini, saya ingin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.
“Kerajaan telah merangka pelan ini dengan membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup saudara dan saudari sekalian.
“Ia juga mengambil kira ancaman COVID-19 yang masih menular dalam komuniti dan bilangan kes aktif yang tinggi di hospital,” katanya.
Katanya, pelan tersebut merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa ataupun back to normalcy.