KUALA LUMPUR | Kes demam denggi di negara ini menunjukkan trend penurunan tahun ini iaitu 75 peratus, manakala kematian kematian juga berkurangan sebanyak 91 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Januari hingga 12 Jun lalu sebanyak 12,188 kes demam denggi dengan lapan kematian akibat komplikasi berbanding 48,584 kes demam denggi dan 84 kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengajak segenap lapisan masyarakat untuk terus berusaha membendung dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes secara konsisten.
“Tahun ini ’10 minit hapuskan aedes’ adalah tema untuk sambutan Hari Denggi ASEAN peringkat kebangsaan yang bertujuan menekankan komitmen dan kerjasama antara semua pihak termasuk masyarakat, jabatan, agensi kerajaan mahupun swasta dalam membanteras demam denggi.
“Mesej yang ingin disampaikan supaya masyarakat meluangkan masa selama 10 minit untuk melaksanakan aktiviti bersih persekitaran dan musnahkan tempat pembiakan aedes,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini masyarakat perlu meluangkan masa dengan mengambil kesempatan memastikan premis bebas aedes.
Katanya, usaha pencegahan denggi ini juga diperkasakan menerusi pasukan sukarelawan COMBI di seluruh negara.