PUTRAJAYA | Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi komitmen bahawa Sidang Parlimen boleh berlangsung sekitar September atau Oktober nanti.
Muhyiddin berkata, ia akan dilaksanakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Saya ingin memberikan komitmen bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa ini iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.
“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.
“Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya pada Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara hari ini.
Muhyiddin juga dalam perutusannya turut mengingatkan supaya jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19.