KUALA LUMPUR | Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang meliputi empat fasa.
Beliau berkata, Pelan Pemulihan Negara ini adalah strategi keluar negara daripada kemelut pandemik Covid-19 yang menunjukkan tanda-tanda penurunan jangkitan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.
“Peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung bulan Julai ini serta peningkatan kadar pemberian vaksin harian membuatkan kita lebih yakin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.
“Parlimen pula dijangka boleh bersidang pada fasa ketiga dengan kawalan SOP yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan di facebooknya.
Ujarnya, semoga usaha ini dapat mengurangkan jangkitan wabak Cobid-19 serta meringankan beban rakyat yang terjejas dari sudut ekonomi.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan strategi Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa bagi keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.
Muhyiddin berkata, pelan berkenaan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.