DEWAN Pemuda PAS Malaysia menyambut baik kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno, YB Datuk Seri Tajuddin untuk Umno tindakan mendesak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan dalam tempoh terdekat, rentetan penularan pandemik yang masih belum berakhir.
Pemuda PAS bersetuju dengan kenyataan tersebut dan percaya bahawa Umno sedar menyelamatkan rakyat ternyata lebih utama dari menggantikan kerajaan sedia ada. Dan inilah mesej yang kita sampaikan kepada rakyat, bahawa pada tempoh pandemik ini, sebarang pertukaran kerajaan akan menyebabkan usaha melawan pandemik terbantut dan akan mengheret negara ke tahap bahaya dan tidak terkawal.
Dalam hal ini, Pemuda PAS mengajak semua ahli politik, tanpa mengira ideologi dan parti, untuk terus fokus bagi menghentikan pandemik. Sebarang usaha ke arah perubahan kerajaan melalui Jajaran Baharu yang hendak dibentuk, tidak sepatutnya timbul, sehingga negara benar-benar dalam keadaan stabil. Keselamatan dan kesihatan rakyat hendaklah menjadi keutamaan.
Pemuda PAS turut mengajak semua pihak untuk menentang sebarang usaha pembentukan badan lain sebagai alternatif kerajaan, yang akan mengganggu dan melambatkan usaha mengekang COVID-19. Usaha kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh Darurat ini ternyata membuktikan keberkesanan, apabila kes jangkitan terus menurun dalam seminggu ini. Tidak perlu satu cadangan lain yang boleh menggugat demokrasi dan mengancam kerajaan awam (civil government) yang dipilih rakyat bagi memuaskan nafsu sesetengah pemimpin menggantikan kerajaan sedia ada.
Pemuda PAS mengajak semua rakyat Malaysia untuk terus bersatu dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Kerajaan dalam usaha mengekang penularan COVID-19, dan mengembalikan semula negara ke keadaan asal. Semoga kita semua sentiasa bersatu dalam melawan pandemik COVID-19 yang mengancam nyawa kita, serta membangunkan kembali negara ke arah yang lebih baik.
YB AHMAD FADHLI SHAARI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia