KUALA LUMPUR | Beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari.
PKPD berkenaan akan bermula pada 17 hingga 30 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Sabah membabitkan dua kawasan masing-masing iaitu Kalabakan, Tawau dan Kota Kinabalu serta di Kota Belud dan Kudat.
Katanya, di Kalabakan ia membabitkan Kampung Rancangan dan Kampung Kijang Merotai yang masing-masing mencatatkan 11 kes positif COVID-19 hasil daripada 40 saringan serta lapan kes positif daripada 11 individu yang disaring di Kampung Kijang Merotai.
“Dua kawasan di Tawau membabitkan Kampung Tanjung Batu Tengah yang merekodkan 15 kes positif daripada 21 individu yang disaring dan Taman Semarak Megah seramai 16 kes positif daripada 19 individu yang disaring.
“Dua lokaliti di Kota Kinabalu yang dilaksanakan PKPD membabitkan Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 10 kes positif di Kampung Rampayan, manakala di Kampung Kionsom Kecil sebanyak 13 kes positif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, PKPD di Kampung Taun Gusi Peninting, Kota Belud selepas KKM mendapati sebanyak lapan individu positif COVID-19 daripada 10 individu yang disaring.
Menurutnya, lapan kes positif di PPR Taman Ehsan, Kudat dariapda 41 individu yang disaring.