KOTA BHARU | Program ‘outreach’ dilihat berkesan bagi membantu penduduk luar bandar mendapatkan suntikan vaksin.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan negeri Kelantan, Dr Izani Husin berkata, ia satu langkah tepat untuk mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera.
“Pihak kerajaan melalui Jabatan Kesihatan Negeri akan melaksanakan siri program ‘outreach’ vaksinasi Covid-19 di seluruh daerah di negeri Kelantan
“Persiapan rapi telah dilakukan bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini dan hanya menunggu bekalan vaksin tiba dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” katanya menerusi Facebook miliknya.
Beliau berkata, kerajaan negeri berharap agar stok vaksin yang bakal tiba mencukupi seperti yang sudah dipersetujui.
Katanya, sehingga semalam, sebanyak 518,350 atau 42.1 peratus sasaran populasi rakyat Kelantan telah mendaftar sebagai penerima vaksin.
“Sehingga 13 Jun 2021, seramai 150,860 rakyat di negeri Kelantan telah menerima dos pertama vaksin dan seramai 68,188 orang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.
“Setakat ini sebanyak 18 buah pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri Kelantan telah dibuka dan lima buah lagi PPV akan dibuka tidak lama lagi.
“Semua hospital kerajaan dan 88 buah klinik kesihatan kini bersiap sedia dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin,” katanya.
Ujarnya, rakyat disaran membuat pendaftaran sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera.