KUALA LUMPUR | Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun mencadangkan supaya bayi baharu dilahirkan dipakaikan gelang ‘barcode’ yang mengandungi maklumat penuh ibu bapa mereka.
Cadangan berkenaan disuarakan beliau menerusi facebooknya berikutan kejadian bayi yang tertukar membabitkan anak kepada Siti Suriani Wahidin dan Diana Hanani Abdullah.
Tulis Rina, beliau sendiri telah menziarahi kedua-dua ibu tersebut yang berada sebuah di hospital swasta.
“Saya amat memandang serius perkara ini, dan ia perlulah dielakkan daripada terjadi kepada mana-mana ibu pada masa hadapan.
“Melihat kepada kejadian sebegini, saya ingin mencadangkan agar diwujudkan satu sistem yang mana setiap bayi yang baru dilahirkan dipakaikan gelang ‘barcode’ yang mengandungi maklumat penuh ibu bapa mereka,” katanya.

Rina juga menasihatkan agar saringan dan pemeriksaan yang lebih terperinci juga seharusnya dilakukan sebelum menyerahkan bayi kepada ibu masing-masing.
“Saya berharap agar semua pihak yang terlibat mengambil iktibar akan kejadian ini, dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan agar peristiwa sebegini tidak berulang.
“Alhamdulillah, dalam ziarah ini saya melihat keadaan mereka kelihatan stabil meskipun masih trauma dengan kejadian yang telah dilalui,” katanya.
Bagi mengurangkan rasa trauma tersebut Rina juga menawarkan khidmat kaunseling serta bimbingan emosi untuk mereka.
“Di samping itu, saya tawarkan juga penjagaan selepas bersalin oleh Mamacare kepada kedua-dua ibu tersebut.
“Saya juga telah sampaikan sumbangan berupa barangan bayi kepada mereka.
“Meskipun sumbangan ini mungkin tak seberapa nilainya, namun saya berharap ia dapat mengembalikan keceriaan kepada kedua ibu ini yang telah menerima bayi mereka ke pangkuan masing-masing,” katanya.