PUTRAJAYA | Sabar dahulu, mungkin sikit sahaja masa nanti kita semua boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa termasuk menziarahi keluaga tersayang di kampung setelah negara berjaya mencapai imuniti berkelompok.
Itulah harapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara hari ini, yang mana beliau memahami segala rintihan rakyat-rakyatnya.
“Saya sering menerima permintaan supaya acara-acara sukan seperti perlawanan bola sepak dengan kehadiran penonton di stadium dibenarkan, majlis-majlis sosial diadakan dan yang paling banyak saya terima ialah rayuan untuk balik ke kampung untuk menziarahi ibu bapa, sanak saudara dan ahli keluarga tersayang.
“Sabar dulu. Pada masa ini perkara-perkara ini masih tak dapat kita lakukan. Kita mesti utamakan usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dahulu.
“InsyaAllah, apabila kita telah mencapai imuniti kelompok pada Fasa Keempat, perkara-perkara ini dapat kita lakukan secara berperingkat dengan pematuhan kepada SOP yang ketat,” katanya hari ini.
Muhyiddin berkata, kejayaan negara mencapai imuniti kelompok pula bergantung kepada berapa ramai rakyat negara ini dapat menerima suntikan vaksin.
“Alhamdulillah, setakat ini lebih 4.5 juta dos suntikan telah berjaya diberikan kepada rakyat Malaysia yang mana 3.2 juta telah menerima dos pertama dan 1.4 juta telah lengkap menerima dua dos vaksin.
“Insya-Allah selepas ini lebih ramai rakyat akan mendapat temujanji suntikan vaksin dan berpeluang menerima dos pertama setelah lebih banyak bekalan vaksin diterima mulai bulan ini,” katanya.
Dalam masa sama, Muhyiddin menyeru seluruh masyarakat yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, segeralah berbuat demikian di aplikasi MySejahtera.
“Sehingga kini, jumlah mereka yang telah berdaftar adalah seramai 13.8 juta. Sasaran kita adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 26 juta populasi di Malaysia diberi vaksin menjelang akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok.
“Sementara itu, kita mestilah terus bersabar dan berdisiplin. Amalkan disiplin kendiri yang tinggi walaupun sudah divaksinasi. Pakai pelitup muka di tempat awam, elakkan berada di tempat sesak, basuh tangan sentiasa dan pastikan anda sentiasa berada di ruang yang mempunyai pengudaraan yang baik.
“Lebih tinggi disiplin kita menjaga SOP, lebih cepat kes-kes harian COVID-19 turun, lebih ramai daripada kita mendapat suntikan vaksin, insya-Allah lebih cepatlah kita mencapai imuniti kelompok dan dengan izin Allah s.w.t. kita akan dapat keluar daripada krisis yang sedang kita hadapi ini bersama-sama,” katanya.