KUALA LUMPUR | Pejabat Peguam Negara telah memberi izin kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa dan menuduh seorang pegawainya bersama seorang lagi tertuduh atas kesalahan rasuah di Mahkamah Seksyen 1 Shah Alam, hari ini.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, pegawai berkenaan, Shahrul Izuan Mohd Zin, 41, dituduh bersubahat dengan Teoh Peng Sin, 55, bagi menerima suapan wang tunai berjumlah RM100,000 sebagai dorongan untuk tidak melakukan siasatan terhadap seorang individu di bawah kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Kedua-dua tertuduh telah ditahan oleh SPRM pada 14 April 2021 dan pertuduhan hari ini dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam, Yang Arif Puan Rozilah Salleh.
Pegawai terbabit juga sebelum ini pernah ditahan oleh pihak polis berkaitan kes siasatan di bawah Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012, bagaimanapun pertuduhan hari ini tiada kaitan dengan kes tersebut.
SPRM ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa perlanggaran undang-undang oleh pegawainya dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mereka melakukan perkara tersebut.