KUALA LUMPUR | Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada golongan yang berusia 12 tahun dan ke atas.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Comirnaty sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari lalu bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.
Katanya, walaupun tambahan indikasi ini telah diluluskan, Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin yang akan dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk vaksin itu kekal positif,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.
Katanya, kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran PICK.