KOTA BHARU | Seramai 99 peratus daripada hampir 1,000 pegawai dan anggota kakitangan penjara sudah divaksinasi COVID-19.
Pengarah Penjara Kelantan, Mat Yaacob berkata, baki yang tidak divaksin adalah kerana mereka yang mengalami masalah kesihatan termasuk kakitangan wanita yang mengandung.
Katanya, proses vaksinasi dalam kalangan kakitangan penjara berjalan lancar bagi melindungi mereka ketiga bertugas.
“Pada hari ini, kita bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk menjalankan vaksinasi kepada baki kakitangan yang tidak divaksin, ahli keluarga dan masyarakat setempat.
“Hampir 2,000 yang akan divaksin dalam masa lima hari ini bermula semalam dan mendapat sambutan ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Outreach Vaksinasi Kakitangan dan Ahli Keluarga di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin dan Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Wan Sani Ab Latiff.