MUNICH | Pengendali Perancis Didier Deschamps memuji semangat juang tinggi ditunjukkan anak buahnya selepas melakar kemenangan ke atas Jerman dalam aksi pembukaan Euro 2020, awal pagi tadi.
Memetik Berita Harian, jaringan sendiri Mats Hummels di babak pertama perlawanan memberikan kemenangan 1-0 buat juara dunia itu di Munich, tetapi Perancis sememangnya mempamerkan prestasi yang lebih baik berbanding lawan mereka.
“Kami bermain dalam perlawanan besar menentang lawan yang bagus. Saya tahu pemain saya akan bersedia dan menunjukkan semangat juang tinggi.
“Kami tidak banyak bergelut di babak kedua. Ia perlawanan yang sukar dengan kualiti dan bakat,” kata Deschamps.
Perancis akan bertemu Hungary di Budapest Sabtu ini sebelum mengakhiri aksi peringkat kumpulan menentang juara bertahan, Portugal pada 23 Jun.
“Ia perlawanan pertama kami tetapi ia seperti aksi separuh akhir atau final. Sudah pasti dalam kumpulan kami, ini adalah tiga mata yang sangat penting.
“Dengan kualiti dimiliki pasukan Jerman, kemenangan ini adalah permulaan yang baik buat kami,” katanya.
Paul Pogba beraksi cemerlang di bahagian tengah Perancis bersama N’Golo Kante dan Adrien Rabiot.
Hantaran perancang Manchester United itu mencetus gol tunggal permainan, dengan hantaran lintang Lucas Hernandez cuba dikeluarkan Hummels tetapi masuk ke gawang sendiri. – AFP