PUTRAJAYA | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik strategi Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, strategi Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa ini pasti dapat meningkatkan kembali ekosistem perdagangan domestik di bawah seliaan KPDNHEP terutamanya kepada peniaga peruncitan, pemborong dan pengedaran di mana aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dan berfokus.
Katanya, KPDNHEP juga telah memulakan program vaksinasi untuk barisan hadapan ekonomi dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID- 19 (CITF) setelah beberapa libat-urus telah dilaksanakan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pemain industri sektor perdagangan dan pengedaran.
“Ini adalah penting sebagai persiapan pembukaan ekonomi yang akan dilaksanakan. Semua pemain industri menyokong sepenuhnya dan telah bersetuju mengikuti program ini di mana sekarang sedang dalam peringkat pendaftaran penyertaan.
“Data tersebut akan diserahkan kepada CITF untuk merangka pelan pelaksanaan termasuk keperluan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan logistik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Beliau berkata, sasaran suntikan dari 150 ribu vaksin sehari kepada 300 ribu sehari akan memberikan dampak yang lebih positif dalam mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok.
Katanya, ia juga membuka lebih banyak sektor ekonomi dalam keadaan selamat dan ini boleh dicapai dengan penyertaan swasta termasuk komuniti perniagaan.
“Dijangka sektor ini akan mencapai tahap imuniti kelompok sekitar September di mana Kementerian telah merancang beberapa aktiviti ekonomi bermula dari jangka masa tersebut terutama Kempen Beli Barangan Malaysia, Program Jualan Malaysia, Program Francais Domestik samada di peringkat kebangsaan mahupun negeri.
“Kementerian akan terus berbincang dengan semua pemegang taruh termasuk kerajaan dan sentiasa menyokong dan membantu pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara supaya negara dapat mencapai objektif yang telah dirancang secepat mungkin,” katanya.