KUALA LUMPUR | Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersedia membantu kerajaan bagi mempercepatkan fasa keempat Pelan Pemulihan Negara mengikut kemampuan KTMB.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, jaringan laluan kereta api sepanjang 1,641 kilometer meliputi utara, selatan dan pantai timur semenanjung dengan 104 stesen dan 73 perhentian, memberi kelebihan dari segi kadar ketersampaian kepada golongan sasaran.
“KTMB bersedia menggerakkan aset sedia ada seperti stesen dan tren, yang boleh dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di kawasan luar bandar terutama di kawasan Pantai Timur.
“KTMB juga bersedia bekerjasama dengan badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 2,104 kakitangan barisan hadapan KTMB yang berpengalaman juga boleh digerakkan sebagai sukarelawan bagi membantu usaha ini.
Katanya, setakat ini KTMB turut membuat hebahan secara konsisten kepada penumpang agar terus patuh prosedur operasi standard (SOP) dan galakkan mereka mendaftar vaksin menerusi hantaran media sosial.
“Mengikut rekod, 50 peratus daripada 5,796 kakitangan KTMB mendaftar vaksin melalui MySejahtera,” katanya.
Tamat.