PETALING JAYA: Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam boleh menjadi peta keluar daripada krisis Covid-19.
Beliau berkata, pelan pemulihan itu menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat prihatin dengan cabaran dihadapi rakyat.
“Kesusahan yang dihadapi hanya boleh diselesaikan dengan cara mengembalikan negara kepada kehidupan harian biasa dan itu memerlukan keseimbangan antara kesihatan dan kelangsungan ekonomi,” tulisnya di Facebooknya.
Semalam Muhyiddin membentangkan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa sebagai strategi peralihan keluar secara berperingkat daripada kemelut Covid-19.
Beliau berkata, setiap fasa pelan itu berpaksikan data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
Katanya, tiga indikator adalah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan jumlah kes harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi dan tahap populasi dilindungi berdasarkan jumlah penerima dua dos vaksin.
Dalam pada itu Wan Saiful berkata, pelan pemulihan itu akan memberi pencerahan kepada rakyat mengenai bagaimana negara akan keluar daripada belenggu Covid-19.
Oleh itu beliau menyeru jentera Bersatu supaya menyokong sepenuhnya pelan itu dan berikrar akan turut membantu memastikan kejayaannya.
“Pelan Pemulihan Negara juga menunjukkan betapa kerajaan PN sentiasa istiqamah dalam mempertahankan konsep demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.
“Perdana menteri menyatakan dengan tegas beliau mahu Parlimen dibuka sebaik sahaja keadaan membenarkan. Ini adalah sikap Muhyiddin sejak dari awal lagi.”