KOTA BHARU | Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyifatkan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan semalam mampu menjadi manifestasi kepada hasrat dan usaha kerajaan untuk mengakhiri kemelut pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin dalam satu kenyataan berkata pelan itu juga boleh mengembalikan ekonomi Malaysia ke tahap pra-pandemik dengan segera.
Katanya, sebagai salah satu pemain dalam industri perumahan di Malaysia, SPNB percaya sebarang usaha untuk memulihkan negara, sama ada ekonomi mahupun kesihatan harus disokong penuh.
Menurutnya, ini kerana ia bukan sahaja menjamin kelangsungan sektor perumahan dan pembinaan, tetapi lebih penting ia dapat memastikan syarikat itu dapat menunaikan janji untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Sebagai sebuah organisasi yang diberi mandat untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan rakyat di Malaysia, SPNB turut menyambut baik langkah kerajaan untuk melancarkan
program pemberian vaksin kepada sektor ekonomi kritikal menerusi Fasa Keempat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Kami ambil maklum wujudnya risiko penularan wabak terutamanya melibatkan kluster tempat kerja, dan kami percaya usaha kerajaan mempercepatkan proses imunisasi kepada sektor ekonomi kritikal yang menjadi teras kepada pembangunan ekonomi adalah bertepatan dengan usaha untuk menyegerakan proses pemulihan negara.
“SPNB juga akan terus menyokong program imunisasi kerana kami percaya, apabila sektor kritikal sudah boleh beroperasi dengan baik, ia secara tidak langsung bakal menyokong sektor ekonomi yang lainnnya, bertepatan dengan indikator dan fasa yang digariskan dalam ‘Pelan Pemulihan Negara’ yang diumumkan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Hasleen berkata, SPNB komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan, pemegang taruh dalam industri serta pelanggan-pelanggan untuk memastikan semua pihak cekal dan tabah bersama sama mengharungi dan mengakhiri kemelut ini bersama-sama.
“SPNB akan memastikan pematuhan SOP dalam operasi dan memantau serta menggalakkan vaksinasi di kalangan kakitangan, kontraktor dan pembekal sepanjang operasi di dalam jangka waktu pemulihan,” katanya.