KUALA LUMPUR | Penekanan beberapa aspek dalam Perutusan Pelan Pemulihan Negara menunjukkan usaha komprehensif kerajaan dalam melandaikan lekuk Covid-19 terutamanya pemberian suntikan vaksin.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah memulakan beberapa program bagi mempercepatkan vaksinasi.
Katanya, antara yang sudah dimulakan adalah Program Vaksinasi Bergerak MYMedic@Wilayah.
“Program ini khusus untuk mempercepatkan dan merancakkan lagi vaksinasi kepada komuniti di Projek Perumahan Rakyat, perumahan awam serta golongan pekerja industri dan gelandangan.
“Dalam masa terdekat pula, peniaga-peniaga di pasar borong dan penduduk di kampung-kampung tradisi di Kuala Lumpur akan menerima suntikan vaksin di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, proses vaksinasi kepada penduduk WP Labuan juga sedang diperhebatkan.
Katanya, ianya secara tidak langsung menyokong usaha kerajaan untuk mendapatkan imuniti kelompok pada kadar yang secepatnya.
“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mulai 1 Jun yang lepas, saya telah mengumumkan beberapa bantuan melalui Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 bagi mengurangkan beban mereka yang terkesan akibat pelaksanaan PKP.
“Bantuan tambahan kepada penduduk lokaliti Labuan yang dikenakan PKPD turut saya umumkan semalam bagi membolehkan rakyat Labuan dibantu sekaligus dapat menempuhi tempoh yang mencabar ketika ini,” katanya.