BAYAN LEPAS | Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan jumlah pendaratan ikan di Pulau Pinang sebanyak 15,776.74 Metrik Tan (MT) bernilai RM53.5 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2021.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata, manakala jumlah pendaratan ikan di seluruh Malaysia iaitu sebanyak 41,364.82MT yang bernilai RM164 juta.
“Kerajaan Pulau Pinang harus berbangga dan bersyukur dengan pertumbuhan sektor perikanan di negeri mereka.
“Segala usaha yang akan membantutkan kelestarian sektor perikanan di negeri ini adalah tidak wajar dilaksanakan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan facebook miliknya.
Beliau berkata demikian ketika merujuk tindakan kerajaan Pulau Pinang yang mahu melaksanakan Projek Penang South Reclamation (PSR).
Katanya, PSI atau lebih dikenali Projek PSR akan menjejaskan seramai 4,211 nelayan Zon A di Pulau Pinang.
“Untuk makluman semua, seluruh nelayan yang berdaftar di Negeri Pulau Pinang boleh menjalankan aktiviti penangkapan ikan di seluruh perairan Negeri Pulau Pinang.
“Sewaktu taklimat tadi, saya difahamkan sebanyak 87 spesies ikan menghadapi risiko ancaman akibat projek ini.
“Antaranya ialah bawal putih, bawal tambak, udang kaki merah, udang harimau dan udang putih dan spesies inilah yang sebenarnya mendatangkan pulangan lumayan kepada nelayan,” katanya.
Katanya, tinjauan aktiviti bekalan makanan dan pemasaran ikan yang diadakan hari ini di Pelabuhan LKIM Batu Maung, Unit Nelayan Sungai Batu dan Pasar Nelayan Teluk Kumbar, Pulau Pinang boleh menjadi salah satu bukti terhadap pertumbuhan sektor perikanan di negeri ini.