KUALA LUMPUR | Tren kemasukan kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan peningkatan bermula dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-17 iaitu dari 25 April hingga 1 Mei lalu dan ME ke-21 bermula 23 Mei hingga 29 Mei.
Tren yang sama berterusan bagi tempoh dua minggu seterusnya sehingga ME ke-23 pada 6 Jun hingga 12 Jun di mana jumlah pengunaan katil ICU melebihi 100 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun terdapat penurunan kes baharu COVID-19 bagi tempoh dua minggu ini iaitu bermula 1 Jun, namun kes di ICU masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.
“Hal ini berikutan kemunculan varian baharu yang mengakibatkan kes dikesan dengan gejala serius iaitu kategori empat dan lima yang merosot pada kadar lebih cepat.
“Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan khususnya di kalangan golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap penyakit.
“Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, penggunaan katil yang melebihi kapasiti ini juga disebabkan oleh keperluan tempoh pemulihan yang lama bagi pesakit ICU untuk sembuh disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 yang serius.
Katanya, secara purata, tempoh rawatan di ICU bagi kategori empat adalah di antara 14 ke 16 hari, manakala pesakit kategori lima tempoh rawatan di antara 19 hari ke 26 hari.
“KKM sentiasa bersiap siaga dengan situasi ini dan antara langkah yang diambil dengan menambah kapasiti katil bagi menempatkan pesakit COVID-19 iaitu sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit COVID-19.
“Menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19.
“Bekerjasama dengan beberapa hospital termasuk Pusat Perubatan di Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, dan terkini Hospital Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia) untuk menggunakan fasiliti mereka bagi merawat pesakit COVID-19,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak bersama-sama berganding bahu dalam memerangi penularan COVID-19 agar kita dapat menuju ke arah pemulihan negara daripada jangkitan COVID-19.