PUTRAJAYA | Pengurusan universiti tidak dibenarkan membuat prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan berkaitan COVID-19 secara terasing daripada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Lapor Berita Harian, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kebenaran menjalani program akademik dan latihan adalah tertakluk kepada kebenaran dan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan MKN.
Beliau berkata, KPT memandang serius tindakan Universiti Malaya (UM) menghalang pelajar yang belum menerima vaksin COVID-19 daripada mengambil bahagian dalam aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan peperiksaan pelajar klinikal fakulti perubatan.
“Adalah diingatkan bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sedang berjalan dan belum mencakupi seluruh rakyat Malaysia, termasuk pelajar universiti.
“KPT menyokong penuh usaha menggalakkan mahasiswa mendaftar untuk menerima vaksin, namun mengingatkan universiti bahawa mereka tidak dibenarkan membuat SOP dan peraturan berkaitan COVID-19 secara terasing daripada keputusan MKN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noraini berkata, MKN tidak mempunyai peraturan yang berbeza di antara mereka yang sudah dan belum divaksin.
Justeru, katanya, semua universiti seharusnya memastikan kebajikan pelajar terjaga terutama PdP dan proses penilaian agar pelajar tidak ketinggalan dalam tempoh pandemik COVID-19 bagi memastikan kelangsungan akademik di negara ini.
“Dalam hal ini, saya sudah meminta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar, untuk menjalankan siasatan terhadap laporan itu dan mengambil tindakan yang perlu dengan segera,” katanya.
BH kelmarin melaporkan, seorang pelajar perubatan sebuah universiti tempatan mendakwa dilarang menduduki peperiksaan kelayakan kerana belum mendapatkan vaksin COVID-19.
Nik Farah Ellisha Mohd Razif, 22, sebelum itu sudah memaklumkan kepada pihak universiti bahawa dirinya tidak mahu mendapatkan vaksin berkenaan.
Akibat didesak pihak universiti, dia kemudian bersetuju mendapatkan vaksin jenama pilihannya sebelum memaklumkan kepada pihak universiti, pada April lalu.