KOTA BHARU | Penjara Kelantan berharap proses vaksinasi dalam kalangan banduan di negeri ini boleh dilakukan tidak lama lagi.
Pengarah Penjara Kelantan, Mat Yaacob berkata, pihak penjara memohon Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan banduan kerana berlakunya kesesakan di penjara.
Katanya, ada berlaku jangkitan COVID-19 dalam kalangan banduan, namun jumlahnya sangat kecil.
“Jumlah banduan di empat penjara dan empat parol di negeri ini lebih 5,000 orang dan berlaku kesesakan.
“Jumlah sebenar yang dapat ditampung oleh penjara dan parol adalah seramai lebih 3,000 orang sahaja. Jadi terdapat lebihan banduan sebanyak 85 peratus.
“Kesesakan ini membimbangkan kerana kesemua banduan tidak mengambil vaksin dan kita risau jika ada jangkitan di penjara, ia boleh merebak kepada kakitangan serta ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Program Outreach Vaksinasi Kakitangan dan Ahli Keluarga di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Seramai 2,000 individu yang akan divaksinasi dalam program selama lima hari yang bermula semalam yang membabitkan kakitangan, ahli keluarga dan masyarakat setempat.
Beliau berkata, bagi menangani kes COVID-19 dalam kalangan banduan, pihaknya mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dalam penjara yang dipantau kakitangan penjara bersama pegawai perubatan untuk mengawal jangkitan COVID-19.