KUALA LUMPUR | Selepas perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustaffa Billah Shah, Raja-Raja Melayu sependapat, tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos depan.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, berkata Raja-Raja Melayu juga sependapat program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi supaya mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.
“Ini kerana nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara lain,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan selepas sesi Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara, petang tadi.
Syed Danial berkata, Raja-Raja Melayu juga sependapat program menangani Covid-19 hendaklah difahami dan mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.
“Keadah menangani wabak Covid-19 mesti bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, mempelajari, melakukan pengubahsuaian, penambahbaikan dan melakukan penerokaan baharu hingga berjaya meyakinkan dan mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat.
“Raja-Raja Melayu juga mahu suhu politik yang semakin panas diredakan dan pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti rakyat,” katanya.
Beliau berkata, adalah menjadi kewajipan YDPA dan Raja-Raja Pemrintah di negeri-negeri unntuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar atau tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.
Katanya, Raja-Raja Melayu turut menegaskan penting prinsip raja berpelembangaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang.