PUTRAJAYA | Di sebalik kecaman pembangkang mahupun pihak tertentu terhadap pelaksanaan ‘total lockdown’ yang dianggap gagal, namun ternyata pandangan terbabit tidak tepat sama sekali.
Berkat kesungguhan Kerajaan Perikatan Nasional ditambah pula iltizam pelbagai pihak termasuk juga kesedaran rakyat untuk melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19, sinar kejayaan terhadap keputusan terbaik kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri pada 28 Mei lalu mula membuahkan hasil.
Bukan omongan kosong tidak berasas atau sengaja mahu ‘mengipas’ Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama kumpulan-kumpulan kuat beliau, namun hakikatnya ia dibuktikan secara data dan angka-angkanya.
Itulah juga yang disifatkan oleh Perdana Menteri hari ini, walaupun melaksanakan PKP bukan perkara mudah buat negara dan rakyat, namun pada Fasa Pertama ia sudah menampakkan sinarnya.
Muhyiddin berkata, keputusan melaksanakan PKP secara menyeluruh ini telah berjaya mengelakkan berlakunya peningkatan kes-kes baharu secara lebih mendadak atau exponential surge of new cases.
“Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat unjuran sekiranya PKP tidak dilaksanakan, kes harian COVID-19 di negara kita mencecah lebih 13,000 kes pada hari ini dan seluruh sistem kesihatan kita akan runtuh.
“Namun Alhamdullilah, dengan pelaksanaan PKP Fasa Pertama ini kita dapat menyaksikan graf jangkitan kes COVID-19 telah mula menunjukkan trend melandai.
“Dengan mencatatkan 4,949 kes semalam berbanding 9,020 kes pada 29 Mei 2021, iaitu kes harian tertinggi yang dicatatkan di negara kita,” katanya pada Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara har ini.
Tambah beliau, sistem kesihatan negara kjuga masih mampu menampung kes-kes baharu di samping mencatatkan jumlah pesakit sembuh yang tinggi.
“Ini menunjukkan tindakan yang diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil,” katanya.
Meskipun jumlah kes harian COVID-19 nampak berubah namun setiap diantara kita tidak boleh senang duduk atau berpeluk tubuh mengharapkan angka pesakit berkurangan dengan sendiri.
Masing-masing perlu memainkan peranan, paling nampak mudah tetapi natijahnya amat besar adalah gerakkan mendaftarkan penduduk sebagai penerima vaksin.
Begitu juga dengan pesanan Perdana Menteri, biarpun sudah berbuih mulut diulangi katanya “pakai pelitup muka, jaga penjarakan fizikal, cuci tangan, elak tempat sesak” semua itu harus menjadi amalan wajib diri sendiri untuk bersama-sama putuskan rantaian COVID-19.