LAUSANNE | Pemain Austria, Marko Arnautovic berdepan tindakan disiplin selepas UEFA hari ini membuka siasatan atas dakwaan menghina pemain Macedonia Utara pada perlawanan Euro 2020 semalam.
Lapor Agensi, Arnautovic meledak jaringan ketiga Austria ketika menang 3-1 di Bucharest yang kemudiannya bertukar menjadi sambutan liar sehingga rakan sepasukan, David Alaba masuk campur bagi menenangkannya.
Media melaporkan dia menghina pemain Leeds United, Ezgjan Alioski, merujuk kepada hubungan pemain itu dengan keturunan Albania.
Dia mengeluarkan kenyataan memohon maaf semalam namun ia tidak mencukupi untuk menghalang UEFA melantik penyiasat etika dan displin bagi melihat “insiden membabitkan pemain Marko Arnautovic.”
“Maklumat lanjut mengenai perkara ini akan diberikan pada masa yang sesuai,” kata badan induk bola sepak Eropah itu.
Menerusi Instagram miliknya, Arnautovic tidak menjelaskan kata-kata dikeluarkannya ketika itu.