KOTA BHARU | Seorang usahawan kosmetik bersama suaminya ditahan polis malam tadi selepas dipercayai memukul anak perempuannya yang bertindak memuat naik status di aplikasi WhatsApp.
Mereka yang masing-masing berusia 33 tahun ditahan pada jam 9.40 malam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
Mereka ditahan selepas anak perempuan berusia 16 tahun membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan polis daripada anak perempuan kepada usahawan kosmetik yang mendakwa dipukul dan ditampar oleg ibu dan bapa tirinya.
Katanya, kejadian jam 4.30 petang kelmarin itu berlaku di rumah mereka di Kampung Pauh, di sini.
“Mangsa mendakwa hampir dipukul dengan menggunakan kayu hoki, namun dia sempat melarikan diri sebelum membuat laporan polis.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan mendakwa turut dipukul menggunakan telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata,susulan penahanan mereka, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebatang kayu hoki.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku selepas pasangan suami isteri berkenaan tidak berpuas hati dengan status yang dimuat naik remaja berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mangsa dikatakan memuat naik status di WhatsApp kerana tidak berpuas hati apabila ibunya mengungkit mengenai soal harta.
“Ibu remaja berkenaan juga dikatakan memarahinya kerana tidak bekerja kerana pulang ke rumah keluarga mentuanya yang terletak di Tendong, Pasir Mas.
“Semakan polis mendapati status yang dimuat naik oleh remaja berkenaan dibaplikasi WhatsApp sudah dipadamkan,” katanya.
Beliau berkata, pasangan berkenaan mengaku memukul mangsa dengan menggunakan tangan sahaja dan tidak menggunakan kayu hoki kerana marah dengan status remaja berkenaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 324 dan 323 Kanun Keseksaan,” katanya.