KUALA LUMPUR | Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya murid kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).
Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia susulan kelulusan National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas.
“Alhamdulillah, cadangan KPM agar murid kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui oleh CITF yang dipengerusikan Yang Berhormat Khairy Jamaluddin.
“Bagi vaksinasi guru, sehingga kini lebih 90,000 orang guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.
“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau menyeru semua pihak bersatu hati.
“Percayalah, sekiranya kita bersatu hati, kita pasti akan menang bersama,” katanya.