ROM | Jaringan dua gol Manuel Locatelli, ditambah jaringan Ciro Immobile membantu Itali sah sebagai pasuka pertama mara ke pusingan 16 terakhir Euro 2020 selepas menang 3-0 terhadap Switzerland, awal pagi tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Mancini mengumpul enam mata dan akan mara sebagai juara Kumpulan A, jika mereka mengelak kekalahan di tangan Wales yang menghuni kedudukan kedua, Ahad ini.
Lapor AFP, pada perlawanan itu, Kapten Itali Giorgio Chiellini terpaksa dikeluarkan pada babak pertama selepas cedera di bahagian paha, empat minit selepas jaringannya pada minit ke-20 dibatalkan pengadil kerana terkena tangan.
Pertahanan berusia 36 tahun itu meminta dikeluarkan dan tempatnya digantikan Francesco Acerbi dengan lilitan kapten diberikan kepada rakan sepasukan Juventus, Leonardo Bonucci.
Chiellini menjadi pemain Itali paling banyak penampilan di Kejuaraan Eropah pada 14 penampilan.
Skuad Azzurri menamatkan babak pertama dengan jaringan minit ke-26 Locatelli hasil umpanan rakan sepasukan, Sassuolo Domenico Berardi.
Di babak kedua, Locatelli menambah jaringan pada minit ke-52, sebelum Immobile melengkapkan kemenangan dengan rembatan padu pada minit terakhir permainan.