BAKU, Azerbaijan | Wales menghampiri pusingan 16 terakhir saingan Euro 2020, selepas mencatat kemenangan 2-0 terhadap Turki di Stadium Olimpik, di sini, awal pagi tadi.
Lapor AFP, kemenangan itu dibantu menerusi jaringan Aaron Ramsey dan Connor Roberts sekali gus menyaksikan Turki mengalami kekalahan dalam kedua-dua perlawanan saingan Kumpulan A tanpa meledak sebarang gol.
Wales yang mara ke separuh akhir lima tahun yang lalu, seharusnya menang dengan lebih bergaya, namun mensia-siakan beberapa peluang termasuk kegagalan kapten mereka, Gareth Bale menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua.
Tiga mata berharga yang diraih itu meletakkan Wales di kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul empat mata selepas terikat 1-1 dengan Switzerland pada aksi pertama.