HANOI | Usaha mencari pekerja ladang dari Asia Tenggara oleh Australia ketika wabak Covid-19 dan perjanjian perdagangan bebas baharu dengan United Kingdom (UK) memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja.
Lapor Bernama, kekurangan itu menjejaskan industri pertanian negara berkenaan yang bernilai AUS$66 bilion (RM210.63 bilion) setahun.
Menurut Bloomberg, Menteri Pertanian Australia David Littleproud memberitahu wartawan di Canberra semalam, kerajaan berhasrat menawarkan visa kerja tiga tahun, pada akhir tahun ini, kepada warga negara dari 10 negara ASEAN.
Dengan rakyat Australia enggan terbabit dalam pekerjaan yang dianggap sebagai buruh kasar, pergantungan kepada buruh asing sudah lama menjadi nadi kepada industri yang menyaksikan penyusutan dan tenaga kerja tempatan yang semakin berusia.
Kerajaan Australia sudah bermula dengan berusaha menarik pelancong bajet rendah dengan tawaran visa lanjutan, selepas selesai pekerjaan di ladang.
Namun, jumlah itu menurun dari 160,000 orang sebelum pandemik kepada kurang dari 40,000 ketika sempadan negara ditutup, menyebabkan hasil ladang terbiar begitu saja dan membusuk.
Kerajaan mengambil serius kekurangan tenaga kerja yang disifatkan sebagai kerentanan berterusan industri berkenaan, ketika pandemik memasuki tahun 2021, dengan negara itu tidak mungkin melonggarkan kawalan sempadannya hingga tahun depan.
Dengan inflasi harga makanan global meningkat lebih tinggi apabila bekalan ladang semakin ketat, sebarang kenaikan dalam rantaian bekalan akan merugikan isi rumah.
Indeks Spot Pertanian Bloomberg, yang mengesan produk pertanian utama, melonjak bulan lalu untuk mencapai tahap tertinggi sejak 2012.
Tamat