KOTA BHARU | Kerajaan akan membekalkan vaksin CanSino kepada Kelantan dan kawasan pedalaman termasuk penempatan Orang Asli bulan depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan dijangka menerima bekalan vaksin itu Julai ini.
“Berapa banyak dos yang bakal diterima akan diumumkan secara rasmi selepas ini.
“Untuk vaksin CanSino, ia hanya membabitkan satu suntikan dos sahaja dan kita akan hantar kepada Kelantan terutama di kawasan pedalaman Orang Asli di Gua Musang.
“Vaksin itu bersesuaian kerana petugas tidak perlu masuk ke kawasan Orang Asli dua kali untuk tujuan suntikan,” katanya.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, perkembangan suntikan vaksin di Kelantan sangat positif apabila kadarnya meningkat setiap hari apabila dapat memberi vaksin kepada belas ribu orang setiap hari dan akan mencapai imuniti kelompok Oktober ini.
Katanya, dengan kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga, sasaran Kelantan untuk menyuntik 30,000 sehari itu dapat dicapai kerana bulan hadapan Kelantan akan mendapat bekalan vaksin sebanyak 550,000 dos.
“Kelantan juga mencadangkan untuk membuka lima lagi PPV iaitu di Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Machang dan Kuala Krai untuk memudakan proses suntikan vaksin,” katanya.