KUALA LUMPUR | Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun kompaun saman trafik sehingga 50 peratus bermula esok hingga 18 Julai ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, tawaran itu bagi saman-saman terpilih termasuk saman dalam kategori senarai hitam.
Katanya, tawaran saman itu tidak termasuk bagi kes saman dalam sebutan mahkamah, kesalahan-kesalahan utama dilakukan dalam tahun 2021, kesalahan kenderaan berat serta pengubahsuaian ekzos.
“Aplikasi MyBayar Saman telah dipertingkatkan bagi membolehkan syarikat dan entiti perniagaan berdaftar sebagai pengguna seterusnya membuat pembayaran melalui aplikasi itu
“Sepanjang tempoh kempen ini, semua kaunter pembayaran saman di kontinjen dan ibu pejabat polis daerah akan ditutup bagi mengurangkan penularan Covid-19 ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, MyBayar Saman adalah inisiatif JSPT dalam menyokong hasrat kerajaan ke arah memberikan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai sepenuhnya kepada masyarakat.
Katanya, orang ramai boleh mendaftar melalui portal rasmi PDRM atau pautan https://mybayarsaman@rmp.gov.my atau muat turun aplikasi berkenaan di Google Playstore, Apple App Store dan Huawei Gallery,” katanya.