KUALA LUMPUR | Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan penggunaan aset miliknya untuk menjadi pemacu kepada program imunisasi nasional khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah, berkata pihaknya berpegang kepada keyakinan bahawa kunci kepada kejayaan untuk Pelan Pemulihan Negara adalah dengan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat.
“Prasarana menyokong penuh kepada Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan misi kerajaan untuk membawa negara keluar segera daripada krisis penularan wabak Covid-19 ini.
“Sebagai tunggak utama pengangkutan awam negara, Prasarana akan bekerjasama dengan pelbagai Kementerian, agensi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program khidmat masyarakat bagi memastikan program vaksinasi nasional berjalan dengan lancar,” kata dalam satu kenyataan, hari ini.
Prasarana mula bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Innovasi dan Teknologi Malaysia (MOSTI), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) seawal Mac tahun lalu.
Kerjasama itu dilakukan untuk menghebahkan maklumat tentang Covid-19, langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan serta pelan tindakan pemulihan ekonomi seperti PENJANA dengan menggunakan platform pengiklanan kendaliannya termasuk skrin-skrin di stesen LRT dan monorel serta aset digital di dalam bas dan tren.
Katanya, semua aset ini akan terus digunakan secara agresif sebagai sumber publisiti dalam meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang kepentingan vaksinasi serta mempromosi Pelan Pemulihan Negara.
“Prasarana amat komited untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi dan terbuka kepada perbincangan untuk menjadikan bas-bas miliknya termasuk di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat-pusat vaksinasi bergerak untuk memudahkan pengambilan vaksinasi di kalangan rakyat.
“Buat masa ini, bas kami turut digunakan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk pemindahan mereka yang disahkan positif Covid-19 ke pusat kuarantin yang ditetapkan oleh KKM.
“Kesemua Bas Kapten yang ditugaskan untuk kerja berkenaan diberikan suntikan vaksin sebelum perkhidmatan bas itu dilaksanakan pada 9 Jun lepas.
“Secara keseluruhan, semua staf-staf barisan hadapan kami juga terlatih dalam penjagaan diri dan prosedur operasi standard (SOP) dalam pencegahan penularan wabak Covid-19,” katanya.
Bagi memudahkan orang ramai untuk pergi ke pusat vaksinasi dengan mudah, selesa dan selamat, Prasarana juga sedia berbincang dengan KKM dan MOSTI untuk membuka pusat vaksinasi sementara di stesen LRT seperti Stesen LRT Putra Heights dan Stesen LRT Awan Besar, yang mempunyai kemudahan serta kawasan parkir kereta yang luas.
Menurutnya, pihak pengurusan sedang merancang pelan untuk menawarkan staf Prasarana untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di pusat-pusat vaksinasi bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh para petugas barisan hadapan KKM ketika ini.
“Prasarana melihat Pelan Pemulihan Negara, yang mengandungi empat fasa pelaksanaan, adalah pelan yang realistik dengan mengambil kira realiti dan situasi sebenar risiko yang dibawa wabak ini.
“Ia pasti dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya seluruh rakyat memberikan kerjasama dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan. Sekarang adalah masa untuk seluruh rakyat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga kesejahteraan sesama kita,” katanya.