KUALA LUMPUR | Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan bekas Perdana Menteri kelima itu meninggal dunia.
Menerusi satu kenyataan yang disiarkan Facebook miliknya sebagai berkata, Tun Abdullah berada dalam sihat.
“Pejabat Tun Abdullah telah menerima satu lagi berita tular berhubung kesihatan beliau dan pejabat menafikan berita tersebut.
“Untuk makluman semua pihak,Tun berada dalam keadaan sihat walafiat di samping keluarga beliau. Pejabat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu,” katanya.
Kenyataab itu berkata, pihak pengurusan berharap masyarakat dapat memastikan dahulu kesahihan daripada pihak yang berautoriti sebelum menyebarkan apa-apa berita bagi mengelakkan kekeliruan.
Terdahulu tular di media sosial mengenai berita kematian bekas Perdana Menteri kelima itu.
Seorang pengguna facebook yang menggunakan nama Tengku Shah Reza Aziz berkongsi maklumat mengenai kematian bekas perdana menteri kelima itu.
Hasil carian Journal Malaysia terhadap penama tersebut tidak berhasil dan berkemungkinan sudah di nyahaktif facebook miliknya atau memadam kenyataan tersebut.
Walau bagaimanapun, beberapa pihak sempat tangkap layar kenyataan palsu tersebut dan disebar luaskan.