PASIR MAS | Usahawan kosmetik yang bersama suami mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada anak perempuannya, Isnin lalu.
Tertuduh, Nurul Atikah Hanafi dan suami, Mohd Hairie Razali masing-masing berusia 33 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Yusoff Abdullah.
Mengikut pertuduhan, wanita itu dan suami didakwa bersama-sama dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada anak perempuannya berusia 16 tahun tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Pauh, di sini, lebih kurang jam 4.30 petang, pada 14 Jun 2021.
Kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hakimie Ab Hadi yang tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh.
Peguam bela, Muhammad Hasif Hassan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon supaya mereka diberi jaminan dengan kadar minimum kerana tertuduh wanita mengandung lima bulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM9,000 seorang masing-masing dengan seorang penjamin.
Mahkamah memerintahkan mereka melapor diri di Balai Polis Pasir Mas dua kali sebulan dan menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.