KOTA BHARU | Pemberian vaksin secara ‘walk in’ akan dibuka di seluruh negara selepas semua individu yang berdaftar selesai menerima vaksin.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan menjangkakan proses suntikan vaksin kepada semua individu yang berdaftar dapat diselesaikan akhir tahun ini atau lebih awal.
“Kerajaan yakin akan menyelesaikan suntikan vaksin dalam tempoh berkenaan.
“Kita akan selesaikan mereka yang sudah daftar untuk dapat temu janji sebelum kita buka kepada mereka yang mahu ‘walk in’
“Jadi siapa yang belum dapat temu janji ataupun belum daftar, dia boleh pergi saja (walk in). Saya rasa kalau kita memudahkan begitu, kita akan mencapai 80 peratus penduduk divaksin,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan dan beliau juga melawat PPV di Dewan Teratai, di Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.