KOTA BHARU: ” Saya nak cocok lamo dah sebab takut kes Covid-19 tinggi, tapi kena tunggu giliran. Alhamdulillah hari ni sampai giliran saya,” kata warga emas, Nawi Abdullah, 85.
Nawi mengambil suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa di sini.
Warga emas yang tinggal di Kampung Kubang Kachang itu datang bersama isteri, Azizah @ Mariam Mamat, 71, dan anak saudaranya.
“Memandangkan saya sudah berusia, jadi saya mahu disuntik awal kerana selepas ini hendak solat berjemaah di masjid.
“Saya harap orang ramai mengambil peluang ambil vaksin kerana sekurang-kurangnya kita sudah berusaha untuk mencegah daripada dijangkiti COVID-19 dan selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT,” katanya.
Bekas pesara swasta itu berkata, orang berusia sepertinya sangat berisiko sekiranya terkena jangkitan COVID-19 dan mengajak semua golongan warga emas mengambil vaksin.