PUTRAJAYA | Sebanyak 91 peratus atau 150,934 orang barisan frontliner Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima suntikan vaksin sama ada dos pertama dan kedua sehingga 16 Jun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berterima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Luar, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang turut mengutamakan warga KDN.
Menurutnya, barisan petugas hadapan KDN memerlukan perlindungan dalam melaksanakan tugasan di lapangan termasuk operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), sekatan jalan raya dan juga melawat tapak-tapak pembinaan dan premis tertentu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana MOSTI atau kerajaan sendiri telah dapat memastikan bahawa KDN akan diberikan keutaman dalam isu ini,” katanya dalam sidang media Rangkuman Pematuhan SOP 3.0 (lockdown) di sini hari ini.
Menurutnya, untuk Polis Diraja Malaysia seramai 108, 555 telah menerima suntikan pertama manakala 96,183 untuk suntikan kedua.
Bagi Jabatan Imigresen Malaysia pula seramai 11,738 telah selamat mendapatkan suntikan pertama dan 10,976 pula untuk dos kedua.
Sementara itu, seramai 11,328 Jabatan Sukarelawan Malaysia telah merima dos pertama vaksin dan 8,427 untuk dos kedua.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia juga telah divaksin yang mana 3,862 untuk dos pertama dan 3,528 dos kedua manakala Jabatan Penjara pula seramai 15,411 bagi suntikan pertama dan 14,667 lagi telah melengkapkan dos kedua.
Hamzah berkata, kira-kira 30 ribu lagi masih belum menerima suntikan dos kedua vaksin.