COPENHAGEN | Kevin De Bruyne menjadi ‘penyelamat’ buat Belgium untuk menjuarai Kumpulan B untuk mara ke peringkat kalah mati Euro 2020 selepas menewaskan Denmark 2-1, pagi tadi.
Lapor AFP, De Bruyne, yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan selepas pulih daripada kecederaan muka dialami ketika final Liga Juara-Juara, masuk dari bangku simpanan untuk membantu Thorgan Hazard menyamakan kedudukan sebelum menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-70.
Perlawanan turut menyaksikan pemain dan penyokong di Stadium Parken menunjukkan sokongan terhadap Christian Eriksen yang sedang mendapat rawatan di hospital berdekatan selepas mengalami ‘cardiac arrest’.
De Bruyne berkata dia tidak meraikan jaringan kemenangan berdepan Denmark di Copenhagen sebentar tadi kerana ‘hormat’ kepada penyokong tuan rumah selepas kejadian Eriksen rebah di padang minggu lalu.
“(Jurulatih) Roberto Martinez memasukkan saya dan meminta saya mencipta ruang. Saya menjaringkan gol,” kata pemain Manchester City itu kepada RTBF.
“Tapi saya tidak mahu meraikan gol itu. Saya sangat menghormati penyokong Denmark.
“Kami boleh bergembira. Kami tahu bahawa ia akan menjadi saat yang sukar menentang Denmark dan di depan penyokong seperti ini selain semua yang sudah berlaku.” kata De Bruyne.