PARIS | Tindakan Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba mengalihkan Coca-Cola dan botol Heineken ketika sidang akhbar Euro 2020 menunjukkan bahawa bintang sukan menolak produk penaja yang tidak bersesuaian dengan nilai peribadi mereka.
Lapor AFP, Pengarah Pusat Sukan Industri Eurasian di Emlyon Business School dekat Perancis, Professor Simon Chadwick, berkata memandangkan Ronaldo memiliki pengikut media sosial sekitar 500 juta, ia akan memberi impak apabila dia bersuara.
Kapten Portugal itu sangat fanatik terhadap kecergasan dan menyatakan dengan jelas apa dirasainya terhadap botol Coca-Cola yang berada di depannya ketika dia bercakap kepada media Isnin lalu sebelum memulakan saingan menentang Hungary.
Esoknya pemain tengah Perancis, Paul Pogba yang juga seorang Muslim dan tidak minum alkohol melakukan perkara sama dengan mengalihkan botol Heineken ketika sidang akhbar.
“Kita berada dalam era baharu dengan atlet tampak menyatakan hak bersuara mereka. Mereka kini ada hak bercakap dan melakukan sesuatu yang konsisten dengan apa yang mereka fikirkan, apa yang mereka rasai, apa nilai sebenar mereka,” katanya
Ronaldo sebelum ini tiada masalah ditaja minuman ringan bergula – malah dia pernah mempromosikan Coca-Cola di China pada pertengahan 2000 dan bekerjasama dengan pesaingnya, Pepsi.
Namun Chadwick berkata, bintang Portugal itu menyatakan dengan jelas: “Sebagai seorang individidu saya ada hak peribadi untuk meneruskan hidup berlainan daripada apa yang saya lakukan sebelum ini.
“Saya berhak menukar pandangan saya, saya boleh menukar nilai yang ada pada diri saya, saya berhak menolak produk yang tidak konsisten dengan diri saya atau apa yang saya cuba wakili.”